MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional Melaka Datuk Seri Idris Haron menyifatkan cadangan ‘calon langsung’ adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Beliau menerusi satu kenyataan semalam berkata kaedah undur secara taktikal tidak langsung boleh menyelesaikan pertembungan antara beberapa pihak yang ingin menampilkan calon parti masing-masing.
“Kalau kita mahu menang di kerusi yang tak pernah dimenangi, maka ini suatu kaedah bijaksana. Iaitu dengan meletakkan bukan calon tradisi.”
“Pengunduran kita itu bukanlah suatu kekalahan kerana ini mungkin akan beri peluang kepada BN untuk menang dengan mengetengahkan calon yang lebih berpotensi dan akhirnya dapat mewakili rakyat… Rakyat akan lihat kewibawaan BN itu dan lebih menyerlah untuk terus kekalkan kerusi itu,” katanya.
Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata kaedah itu juga sebaiknya tidak membabitkan kepentingan peribadi sebaliknya mengutamakan semangat parti masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini tidak menolak kemungkinan BN akan menggunakan kaedah ‘calon langsung’ bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen pada pilihan raya akan datang.- BERNAMA