Home Utama Calonkan Tun M sebagai PM sekadar mainan persepsi PH

Calonkan Tun M sebagai PM sekadar mainan persepsi PH

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR- Mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (PH) jika perikatan parti tersebut berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya hanya strategi ‘memancing’ keyakinan pengundi.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, PH yang dulu didominasi oleh sosok kepimpinan Anwar Ibrahim, kini telah berubah apabila Ketua Umum PKR itu dilihat tidak lagi relevan menerusi faktor pemenjaraannya.

Menurut Martadha, keadaan tersebut sudah tentu bukan sahaja mengurangkan rasa percaya dalam kalangan penyokong parti tersebut, malah keyakinan barisan kepimpinan parti komponen juga pastinya akan semakin goyah.

“Pertama kita lihat mungkin ketika dulu semua parti dalam Pakatan Harapan menamakan Anwar Ibrahim sebangai calon Perdana Menteri walaupun masing-masing mengetahui secara realistik beliau tidak akan jadi Perdana Menteri berdasarkan tempoh dalam penjara.

“Itu sebahagian usaha Pakatan Harapan untuk memastikan bahawa setiap parti dalam Pakatan Harapan jelas yang menjadi tunjang Pakatan Harapan ialah PKR sebab itu mereka menamakan Anwar.

“Sebab itu dengan meletakkan Tun M mereka merasakan mereka mepunyai seorang yang berpengalaman namun begitu saya melihat apakah dengan meletakkan Tun M akan memberi satu signal kepada pengundi kerana Tun M kita tahu dialah menteri memerintah lebih 22 tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sehubungan itu, menurut , Ahmad Martadha, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon Perdana Menteri hanyalah gerakan untuk membuktikan PH sentiasa relevan untuk menjadi parti yang mampu menggantikan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini mengenai cadangan gabungan pembangkang untuk mencadangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Wan Azizan Wan Ismail pula sebagai timbalannya.

Menurut Anggota Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul perkara itu hanya menunggu kelulusan daripada Anwar.

Dalam masa yang sama, tambah Martadha, Anwar kini perlu mengakui bahawa pengaruhnya di dalam pakatan pembangkang tidak lagi seperti dulu, selepas kehadiran bekas Perdana Menteri itu dalam gabungan pembangkang.

“Kita lihat semakin hari suara Anwar Ibrahim semakin kurang Tun M pula semakin hari cuba menonjol dan memperlihatkan Pakatan Harapan perlu dipimpin seperti mana Tun M.

“Sama ada Anwar setuju atau tidak itu satu perkara yang Anwar terpaksa terima untuk menjadikan seorang pemimpin membawa PRU akan datang,” kata Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu lagi.

Bagaimanapun Martadha percaya sekalipun PH menggunakan bekas Perdana Menteri itu demi mewujudkan persepsi baik dalam kalangan pengundi, parti itu tidak akan dapat menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan pelbagai masalah dalaman yang melanda komponennya.

“Mungkin dengan adanya Tun M Pakatan Harapan rasa mereka mampu menandingi UMNO pada PRU-14 nanti. Kita kena lihat satu segi realistiknya adakah Pakatan Harapan akan menang walaupun menggunakan gerakan itu menuju PRU-14. Ia mungkin tidak akan berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette