Home Utama Kerajaan sedia timbang rayuan pemaju

Kerajaan sedia timbang rayuan pemaju

Noh Omar

PUTRAJAYA – Kerajaan sedia menimbang rayuan para pemaju hartanah yang mahu pengecualian untuk meneruskan pembinaan projek-projek mewah bernilai RM1 juta di lokasi-lokasi di bandar besar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat kementerian itu bagi mempertimbangkan rayuan-rayuan yang dibuat mengikut kes.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan rayuan itu akan diberikan mengikut kesesuaian permohonan sehingga pembekuan projek berkenaan dibekukan sementara diumumkan.

“Kita beri pertimbangan ini selepas menerima maklum balas daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan yang mahu kerajaan menimbang semula keputusan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Naib Perdana Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan Kerajaan Mauritius, Fazila Jeewa-Daureeawoo dipejabatnya.

Pada 1 November lalu, kerajaan telah membekukan sementara permohonan baharu bagi projek pembinaan kediaman, ruang pejabat dan runcit yang bernilai RM1 juta. Pembekuan itu turut merangkumi pusat beli-belah.

Tindakan itu diambil berikutan kebimbangan Bank Negara Malaysia peningkatan hartanah-hartanah yang tidak terjual, dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi.

Noh berkata, Kabinet telah melantik lima menteri untuk membincang dan mengendalikan pembekuan kelulusan bagi projek-projek berkenaan.

Menurutnya, pemaju-pemaju yang mahu membuat rayuan perlu memohon kepada kementerian tersebut.

Tetapi, kelulusan bagi projek perumahan bergantung kepada pasaran, bilangan rumah yang ada dan stok kediaman, kata beliau. – MalaysiaGazette