MANCHESTER – Paul Pogba dikecam hebat para media, peminat dan pengurus Manchester City selepas pemain tengah Manchester United itu ‘berharap’ pemain utama Manchester City akan mengalami kecederaan.
Pogba memberi jawapan itu selepas ditanya oleh Football Focus, BBC sama ada United akan berjaya mengejar kedudukan City di teraju liga.
“Beberapa ketika, saya berharap mereka akan tergelincir mata, saya berharap dan saya tahu bahawa ia tidak baik untuk mengatakan perkara seperti itu. Namun saya harap beberapa pemain penting akan cedera.
“Seperti apa yang berlaku dengan kami kerana setiap kali kami mempunyai pemain penting yang cedera dan kehilangan mata dalam permainan penting.
“Sekiranya itu berlaku kepada mereka, maka mungkin ia akan membuat perbezaan, mungkin sedikit sentuhan yang membuatkan mereka lemah,” katanya.
Namun pengurus City, Pep Guardiola masih tidak percaya dengan jawapan Pogba itu.
“Betulkah dia (Pogba) berkata seperti itu? Saya harap kami tidak mengalami kecederaan. Saya berharap Paul dapat bermain dengan baik dan saya berharap dapat bertemu skuad dengan pemain yang terbaik,” jelas Pep.
Sementara itu, pemain tengah City, Kevin De Bruyne berharap tidak ada pemain skuad itu yang cedera.
Baginya, ia adalah persaingan sekiranya mahu bermain menentang pasukan terbaik dan pemain terbaik.
“Pogba adalah pemain yang hebat, saya mengenali dan dia memang ternyata hebat. Dia menerima kad merah, pernah mengalami kecederaan dan penggantungan,” katanya.
Namun difahamkan jawapan Pogba bukan merujuk kepada perlawanan derby Manchester pada hujung minggu ini. – MalaysiaGazette