Home Ekonomi Prestasi jualan Proton stabil

Prestasi jualan Proton stabil

Proton

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. mengekalkan pertumbuhan stabil dalam prestasi jualan dengan merekodkan sebanyak 66,190 buah kereta sehingga akhir bulan lalu.

Jumlah itu menyaksikan kenaikan dua peratus berbanding 65,069 buah pada tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh jualan model Saga dan Persona, masing-masing dengan jumlah 28,368 dan 18,113.

Saga dan Persona telah menguasai 70 peratus jualan model-model kereta Proton yang lain.

“Proton melalui cabaran sejak lima tahun lalu dan pertumbuhan stabil yang direkodkan dari Januari hingga November tahun merupakan satu pencapaian positif,” menurut Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Abdul Rashid Musa.

Katanya, Proton bersama-sama rakan kongsi telah meningkatkan usaha penambahbaikan kualiti yang sedang berjalan.

Malah, tambah beliau, Proton juga berkongsi pengetahuan dan kemahiran melalui peluang latihan dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd di China dalam memberi kepuasan kepada pelanggan.

Menurut Proton, kebolehpercayaan dan ketahanan kereta-keretanya telah diuji dalam perlumbaan sembilan jam di Sepang 1,000 km 2017 pada bulan lalu, menyaksikan Proton adalah pemenang bagi keseluruhannya. – MalaysiaGazette