KUALA LUMPUR – Kesejagatan politik merupakan formula yang ada pada UMNO dan menjadi faktor utama parti itu mampu bertahan dan relevan sehingga kini.
Menurut Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perkara tersebut adalah fakta yang tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.
“UMNO adalah sebuah parti politik yang masih bertahan dan relevan sehingga hari ini. Berbanding parti politik lain, UMNO adalah sebuah parti keramat paling unggul.
“Di peringkat serantau dan global, UMNO adalah parti politik yang masih kekal memerintah tidak pernah tewas dalam pilihanraya sejak tahun 1955. Ini adalah fakta yang sama sekali tidak boleh disangkal.
“Apakah formula UMNO hingga mampu kekal unggul? Kita mengamalkan kesejagatan politik sejak dahulu lagi sehingga hari ini,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Sayap-Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC malam tadi.
Tambah Ahmad Zahid, perkara itu juga boleh dilihat pada keprihatinan yang ditunjukkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta kepimpinan lain parti yang membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP.
“Sesungguhnya UMNO tidak mengamalkan agenda sempit. Kita tidak hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata. UMNO mengamalkan politik keterangkuman. UMNO adalah wadah perjuangan seluruh rakyat dari berbilang kaum.
“UMNO adalah tunjang kekuatan kepada Barisan Nasional (BN). Kita sanggup berkongsi kuasa bersama rakan komponen bukan sahaja di semenanjung tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak.
“Inilah kesatuan politik matang dan dinamik yang UMNO amalkan dalam membina bangsa UMNO sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik,” katanya. -MalaysiaGazette