Home Nasional ADUN Senai akan dipanggil polis

ADUN Senai akan dipanggil polis

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din menunjukkan pelekat VSP yang pada Majlis Pelancaran Sticker VSP dan Penyampaian Motor URB di Larkin Sentral.

JOHOR BAHRU – ADUN Senai, Wong Shu Qi akan dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dipercayai berhubung ucapan yang dibuatnya pada Persidangan DUN Johor baru-baru ini.

Wakil rakyat DAP itu diminta tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat ini pukul 4 petang.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din mengesahkan perkara itu dan siasatan akan dikendalikan polis dari Bukit Aman.

“Siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di bawah Jabatan Siasatan Jenayah dan difahamkan mereka akan memanggil ADUN Senai itu untuk memberi keterangan berkaitan,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sticker Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan penyerahan motor Unit Rondaan Bermotorsikal di Larkin Sentral.

Sementara itu, Shu Qi dalam satu kenyataan berkata, pihak polis telah menghubunginya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya telah diminta hadir ke IPK Johor pada Jumaat ini jam 4 petang. Saya akan hadir ditemani peguam, Gobind Singh Deo,” katanya.

Shu Qi berkata, beliau akan turut mengadakan sidang media pada jam 5 petang sebaik sahaja selesai memberi keterangan berkenaan.

Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan DUN menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Shu Qi di atas tindakannya membocorkan dokumen SPRM.

Beliau menegaskan, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang sengaja membuat fitnah, spekulasi atau apa-apa tindakan tidak wajar terhadapnya.

Pada 27 November lalu, Shu Qi dalam ucapannya pada Persidangan DUN mempersoalkan kesahihan beberapa dokumen SPRM yang dimuat naik dalam sebuah blog berkaitan skandal hartanah yang turut mengaitkan Mohamed Khaled. – MalaysiaGazette