Home Politik Waythamoorthy pengkhianat kaum India, bukan Najib – PAR

Waythamoorthy pengkhianat kaum India, bukan Najib – PAR

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) hari ini memberi amaran kepada P. Waythamoorthy supaya berhenti mengutuk Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang tidak harus dipercayai masyarakat India.

Sebaliknya, Pengerusi Hindraf itu sendiri didakwa sebagai seorang pengkhianat kaun India yang menghancurkan segala harapan yang di letakkan di bahunya untuk memperkasa taraf hidup mereka.

Presiden PAR, Datuk A. Chandrakumanan meminta Waythamoorthy melihat cermin sebelum mengutuk Perdana Menteri ketika menghadiri Perhimpunan Agung Makkal Sakthi Ahad lalu.

“Daripada meletakkan jawatan dan lari dari tanggungjawab, dia sepatutnya tampil dengan pelan induk bagaimana dia hendak memperkasakan (tarah hidup) dan bukannya lari dengan memberi alasan tak masuk akal,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Malah tambahnya, Waythamoorthy tidak layak meminta masyarakat India supaya tidak mempercayai dan menidakkan seruan pengerusi Barisan Nasional itu.

Katanya, sebelum ini Perdana Menteri ikhlas melantik Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri namun tanggungjawab yang diberikan itu diabaikan bekas senator tersebut selama lapan bulan.

“Siapa dia (Waytthamoorthy) untuk mengarahkan masyarakat India tidak mempercayai Najib yang terbukti melindungi komuniti India, sedangkan dia tidak ada kredibiliti dalam perkara itu,” ujarnya.

Jelas beliau, Najib selaku Pengerusi BN mengambil inisiatif dan melancarkan pelan Induk Pembangunan pada 23 April lalu, sekali gus membuktikan kesungguhannya memperkasa dan mentransformasikan sosioekonomi dan kebajikan komuniti minoriti itu.

Katanya, tindakan Waythamoorthy juga membuktikan dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa pelan Induk Pembangunan India semakin relevan mencapai objektifnya.

“Menyedari hakikat bahawa masyarakat tidak lagi mempercayainya, dia memilih jalan pintas bertemu penasihat Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk merendahkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette