IPOH – Lima penumpang dan pemandu bas ekspres cedera apabila kenderaan itu merempuh sebuah treler di Kilometer 249.6 LebuhRaya Utara Selatan (PLUS), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak awal pagi ini.
Ia merupakan kemalangan kedua yang membabit bas ekspres dan lori dalam tempoh 24 jam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kemalangan pukul 3.40 pagi itu berlaku apabila bas ekspres dua tingkat tersebut melanggar treler yang diletakkan di bahu jalan susur keluar R&R itu.
Pemandu bas yang dalam perjalanan dari Kangar ke Klang itu dikatakan tidak menyedari treler berada di bahu jalan menyebabkan rempuhan berlaku dari arah belakang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Semalam, seorang wanita maut selepas bas ekspres yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler dan lori kontena di Kilometer 294.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara sebelum Pusat Transformasi Bandar Gopeng.
Kemalangan pada pukul 5.45 pagi itu menyebabkan pemandu bas dan 12 penumpang yang lain cedera ringan. – MalaysiaGazette