Home Dunia Dunia kutuk AS iktiraf Baitulmaqddis ibu negara Israel

Dunia kutuk AS iktiraf Baitulmaqddis ibu negara Israel

WASHINGTON – Sekutu-sekutu tradisi Amerika Syarikat mengutuk keputusan Presiden Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqddis sebagai ibu negara Israel.

Arab Saudi menyifatkannya sebagai “tidak adil dan tidak bertanggungjawab”. Perancis dan United Kingdom juga membantah keputusan Trump.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menganggap pengumuman Trump itu sebagai “hari bersejarah”.

Tindakan Trump itu telah mengenepikan polisi berdekad Amerika Syarikat.

Kedudukan Baitulmuqaddis adalah salah satu isu yang paling sukar ditangani antara Israel dan Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah mengecam langkah Donald Trump sebagai “menyedihkan”.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan membincangkan isu itu pada hari Jumaat ini selepas lapan dari 15 negara itu meminta sesi kecemasan diadakan.

Manakala Liga Arab akan bertemu pada hari Sabtu.

Trump yang mempertahankan pengumuman yang dibuatnya menyifatkan ia demi kepentingan Amerika Syarikat dan mengangkat keamanan antara Israel dan Palestin.

Beliau berkata, Amerika Syarikat masih menyokong penyelesaian dua negara terhadap konflik yang berlarutan antara Israel-Palestin – jika diluluskan oleh kedua-dua belah pihak, yang pada dasarnya akan melihat penciptaan negara Palestin yang merdeka dan menetap di samping Israel.

Sebagai tindak balas, Netanyahu berkata, Israel sangat berterima kasih kepada Presiden Trump.

“Baitulmuqaddis menjadi tumpuan harapan kita, impian kita, doa kita selama tiga millennia,” katanya.

Gabungan Parti Republik Yahudi mengucapkan terima kasih kepada Trump dalam iklan New York Times.

Mahmod Abbas berkata, Baitulmaqddis kekal sebagai ibu negara Palestine dan menyifatkan Amerika Syarikat bukan lagi broker keamanan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pengumuman Trump adalah satu kegelisahan yang besar.

Beliau berkata: “Tidak ada alternatif kepada penyelesaian dua negeri”.

Perdana Menteri Britain, Theresa May juga tidak bersetuju dengan keputusan Amerika Syarikat yang didakwanya tidak membantu dari segi prospek perdamaian di rantau ini”

Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut tidak menyokong langkah tersebut manakala Ketua Diplomat Kesatuan Eropah, Federica Mogherini memberitahu langkah Amerika Syarikat itu menimbulkan kebimbangan serius. – MalaysiaGazette