Home Politik Gerakan, PAR tuntut Zaid mohon maaf

Gerakan, PAR tuntut Zaid mohon maaf

Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Nampaknya bukan pemimpin UMNO sahaja yang marah dengan Datuk Zaid Ibrahim.

Pemimpin Gerakan dan Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) juga mahu ahli DAP itu supaya segera meminta maaf kepada Sultan Selangor ekoran kenyataannya yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay berkata, tindakan Zaid jelas menampakkan seolah-olah dia menyokong kenyataan Tun Dr. Mahathir yang menghina keturunan Bugis tetapi gagal menyambut baik tindakan Raja-Raja Melayu yang tidak berkenan dengan kenyataan yang sama.

“Ini juga mencetuskan persoalan adakah Zaid dan DAP setuju dan boleh terima kenyataan berbaur rasis seperti ‘lanun, ‘pemalas’, ‘pemabuk”‘ atau ‘pendatang’ berdasarkan akar leluhur seseorang?

“Tindakan Mahathir yang bersifat perkauman dan rasis secara terang-terangan tidak dipeduli pemimpin Pakatan Harapan khususnya DAP yang kurang ajar yang menunduk kepala dalam politik kepada bekas PM tersebut.

“Ini membuktikan bahawa DAP percaya hanya mereka mempunyai hak dan moral untuk mengkritik demi kepentingan diri dan bukannya rakyat, DAP serta Zaid Ibrahim perlu segera memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin dan harus diambil tindakan berat sebagai mengajar sikap kurang ajarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PAR, Datuk A. Chandrakumanan menyelar Zaid dengan mendakwa status peguam bukan tiket untuknya mengkritik sultan.

“Saya dapat melihat sejak kebelakangan ini menjadi hobi Zaid yang mana dia ingat sebagai peguam dia boleh mengeluarkan kritikan ke atas sesiapa sahaja yang boleh dianggap ancaman kepada negara dan rakyat.

“Jika sekarang dia berani mengarahkan baginda sultan berhati-hati dengan kata-kata baginda dan menuduh raja berpolitik, tak dapat bayangkan apa lagi dia sanggup lakukan selepas ini?

“Ahli politik jijik seperti ini perlu dicampak keluar dari politik kerana ini trend baharu politik kotor yang didukung oleh pembangkang tidak bermoral.

“Saya mahu Zaid segera meminta maaf kepada Sultan dan Polis diharap tanpa berkompromi menghukum segera pemimpin itu untuk mengajar pembangkang supaya menjaga mulut dan tingkah laku mereka secara sopan,” ujar Chandrakumanan. – MalaysiaGazette

+ posts