KUALA LUMPUR – Cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ditentang sekeras-kerasnya oleh UMNO.
Pendirian itu ditegaskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya.
Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Najib mengajak semua pimpinan parti dan ahli UMNO menzahirkan pendirian untuk menolak cadangan AS itu.
“Minggu ini kita dikejutkan dengan cadangan AS untuk mengiktiraf satu daripada tiga Tanah Suci umat Islam, yakni Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.
“Saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, mengajak pimpinan parti, perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana saja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya, agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia.
“Kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila,” katanya.
Berkait soal itu Najib berkata, beliau sependapat dengan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Malaysia perlu ‘buta warna’ dalam hal kemanusiaan.
“Sebab itulah, kita mempraktikkan amalan bermusyawarah dalam UMNO serta Barisan Nasional sebagai sebuah keluarga besar.
“Bagai dimadah Melayu lama, jika tidak sebanyak, sedikit pun jadilah jua. Satu perjuangan bukan saja dari suara umat Islam Malaysia, malahan suara kemanusiaan dunia yang diwakili kerajaan Malaysia pimpinan UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette