Home PAU 2017 Generasi millenial mahu debat terbuka dan bersemuka

Generasi millenial mahu debat terbuka dan bersemuka

Presiden Kelab UMNO Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 KE 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 08 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Corak politik zaman alaf baharu kini sudah berbeza kerana generasi millenial kini menuntut debat terbuka dan budaya bersemuka, kata Pengerusi Majlis Presiden Biro Pelajar Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah.

Ahmad Syazwan berkongsi pengalaman daripada sudut pandangan pelajar luar negara di mana mereka hidup dalam lanskap budaya dan politik yang berbeza dengan Malaysia serta memerlukan pendekatan yang berlainan.

“Kebanyakan sahabat kami di luar negara adalah terdiri daripada generasi millenial, generasi yang hidup dalam era dan suasana berbeza, mereka mempunyai pemikiran yang berbeza, jiwa mereka berbeza, kehendak mereka berbeza dan sudah tentu mereka memerlukan pendekatan politik yang berbeza.

“Inilah generasi yang tidak mengikuti media arus perdana, generasinya menjadikan media sosial sebagai rujukan utama, generasinya terdedah kepada budaya politik negara-negara maju,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.

Jelas Syazwan, generasi millenial menuntut budaya debat terbuka dan juga bersemuka kerana kematangan politik yang dilalui mereka semasa menuntut di luar negara.

“Generasinya kritikal dan lebih skeptikal terhadap ahli-ahli politik, generasinya mahu debat terbuka dan budaya bersemuka, atas dasar ini kami percaya Kelab UMNO Luar Negar berupaya memainkan peranan yang besar dan menekankan pendekatan ilmiah dan pendekatan terbuka budaya berhujah,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangan kepada pucuk pimpinan parti untuk memberi peluang kepada pelajar luar untuk terpilih sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi berkongsi pandangan daripada sudut perspektif serta idea yang berbeza bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan polisi dan dasar negara.

“Pada masa sama Kelab UMNO perlu dilihat menyelami kemahuan dan keinginan pelajar luar negara, oleh sebab itu kami dengan ini mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti dan kerajaan agar perwakilan di dalam Parlimen Belia Malaysia atau Ahli Parlimen Belia Malaysia turut dibuka kepada pelajar luar negara kerana kami ingin menambah dapatan dan perspektif analisis sepanjang berada di luar negara.

“Akhirnya Parlimen Belia ini dapat menterjemahkan penggabungan idea dinamik antara pelajar dalam serta luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette