Home Nasional Hamas iktiraf UMNO jadikan Malaysia negara disegani

Hamas iktiraf UMNO jadikan Malaysia negara disegani

Ketua Delegasi Hamas ke Malaysia, Maher Salah (tengah) berbincang dengan pegawainya sebelum bermula sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 08 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Hamas melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden yang berjaya hasil daripada pemerintahan UMNO sejak merdeka dan wajar menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.

Ketua Pergerakan Luar Hamas, Maher Salah yang sempat berkunjung semasa Perhimpunan Agung UMNO 2017 untuk merasai kemeriahan satu-satunya persidangan parti politik terbesar di Malaysia turut memuji layanan yang diberikan kepada wakil Palestin sepanjang berada dinegara ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan UMNO atas jemputan yang baik hati kepada kami untuk turut sama menyertai Perhimpunan Agung yang sangat berjaya dan bermakna ini,” kata Maher semasa sidang media di PWTC hari ini.

Maher juga turut mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan mengenai isu Jerusalem, proses rekonsiliasi Palestin dan juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Maher memuji Malaysia dengan menyifatkan kemodenan dan kepelbagaian dikalangan rakyat Malaysia yang hidup dengan aman dan makmur sebagai wajar dicontohi.

“Kami melihat Malaysia sebagai sebuah negara Muslim contoh yang kaya dan stabil, ia menggambarkan kemodenan, perpaduan dan kepelbagaian, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang berjaya,” katanya.

Selain itu, Maher juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang tidak putus-putus menyokong rakyat Palestin dalam menegakkan keadilan dan hak mereka atas bumi sendiri.

“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas usaha mereka diperingkat politik dan organisasi antarabangsa dalam menyokong perjuangan kami menentang kependudukan Israel,” ujarnya.

Maher juga menghargai pendirian kerajaan Malaysia menerusi kenyataan Najib semasa perhimpunan semalam yang mengecam keras tindakan Amerika Syarikat mengiiktiraf ibu kota Jerusalem sebagai ibu negara Israel. – MalaysiaGazette