Home Seni Hidup Mana artis hidup mewah? – Adibah Noor

Mana artis hidup mewah? – Adibah Noor

Adibah Noor.

KUALA LUMPUR – Selepas kenyataannya artis tidak boleh bersuara, Adibah Noor kini menempelak pula golongan yang mendakwa artis sering mengamalkan gaya hidup mewah.

Menerusi laman sosial Twitternya, Adibah mempersoal persepsi pihak tertentu yang menganggap artis hidup mewah dan tidak beri sumbangan apa-apa kepada negara.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu menjelaskan, ramai artis yang bekerja sendiri dan pendapatan mereka tidak menentu.

“Artis ramai yang freelance, bukan makan gaji tetap bulan-bulan. Tak ada KWSP, Socso, insurans. Kerjanya bermusim, ada time lebat, ada time diari kosong-sekosong-kosongnya.

“Pandai-pandailah dia nak uruskan kewangan dia,” katanya berterus-terang.

Foto laman sosial Twitter, Adibah Noor.

Adibah menambah, artis yang mendapat bayaran yang tinggi perlu membayar cukai pendapatan yang tinggi maka tidak wajar jika dikatakan tidak menyumbang kepada negara.

“Itu belum sumbangan lain lagi… tak yah citer (cerita) ler macam mana deme yang kome kutuk tu kome guna untuk mintak sumbangan kalau ada nak buat projek amal ke, jual meja ke, jaja ke sana ke mari ke untuk kempen ke… Tak yah citer la,” katanya.

Semalam, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mempersoalkan berapa pendapatan Datuk Sheila Majid dan  artis yang bercakap tentang kos sara hidup tinggi.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu berkata, Sheila keliru antara kos sara hidup dan gaya hidup serta mempersoal pendapatan Sheila sebagai artis.

Pembantu Khas Isteri Perdana Penteri, Datuk Rizal Mansor juga mengkritik ratu Jazz negara itu dengan mempersoalkan penjualan tiket konsert Sheila.

Menurut Rizal, tiket konsert Sheila yang berharga RM888 sekeping telah habis terjual dan bagaimana mengatakan ekonomi dalam keadaan tidak baik. – MalaysiaGazette