SEREMBAN – Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan melibatkan dua treler di KM43.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), berhampiran simpang keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Lias Amat berkata pemandu yang memandu treler dengan muatan 60 tan polyethylene itu dipercayai telah merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan 60 tan tiang konkrit yang berhenti di laluan kecemasan kerana rosak.
Bomba menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada 7.02 pagi dan tiba ke lokasi kejadian 15 minit kemudian dengan kekuatan 10 anggota termasuk dua pegawai.
“Mangsa, Muhamad Jidin, 27, yang tersepit pada bahagian kabin pemandu akibat rempuhan tersebut berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan.
“Pemandu treler yang membawa konkrit pula, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Lias berkata mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat.
— BERNAMA