KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO, Pemuda Pas dan 51 pertubuhan bukan kerajaan hari ini bersatu hati melahirkan bantahan terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Kira-kira 1,000 peserta berhimpun di hadapan kedutaan AS selepas masing-masing selesai menunaikan solat Jumaat kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengetuai bantahan tersebut berkata, sekalipun mempunyai pengaruh besar dalam dunia, Trump tidak sepatutnya membuat pengisytiharan secara ‘haram’ yang disifatkannya sebagai menyinggung perasaan rakyat seluruh dunia yang mahu melihat keadilan menyebelahi Palestin.
“Ini pengisytiharan haram! Pegang kata-kata saya, lelaki berpengaruh dalam dunia bebas sekalipun sepatutnya hormat undang-undang antarabangsa.
“Trump bukan sahaja menyinggung perasaan orang muslim tetapi seluruh dunia yang mahu melihat keadilan,” katanya di hadapan lebih kurang 1,000 peserta solidariti yang menyokong bantahan terhadap Trump.
“Hidup Palestin!!” laungan KJ di mendapat sorakan tanda sokongan.
Antara yang kelihatan Timbalan Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun; Exco Pemuda UMNO Dr Fathul Bari; manakala Pas diwakili oleh Ketua Pemuda parti itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan beberapa kepimpinan yang lain.
Bantahan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat kelihatan mendapat sambutan membuktikan pengisytiharan Trump telah mencetuskan amarah rakyat negara ini.
Khairy selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan turut menegaskan seluruh rakyat dunia pastinya tidak akan berpeluk tubuh selepas ini dan terus menyokong kebebasan Palestin secara konsisten.
“Mereka akan melihat kebangkitan rakyat dunia, hormatilah undang-undang antarabangsa. Ini menentang hak kemanusiaan dan segeralah hentikan penindasan rakyat Palestin,” ujar Menteri Belia dan Sukan itu lagi. – MalaysiaGazette