KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang menganggap bantuan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai dedak sebenarnya mereka juga tidak menolak daripada menerima ‘sumbangan’ yang sama.
Demikian kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi sambil menegaskan, persepsi itu membuktikan pembangkang mengiktiraf kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Ada orang menganggap bantuan-bantuan kerajaan BN ini sebagai dedak tetapi yang bercakap itu pun menerimanya dan tidak sesekali pun menolak,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Hasim juga berkata, pembangkang sering memutarbelitkan statistik ekonomi negara semata-mata agar masyarakat melihat ia memihak kepada mereka.
Lebih malang katanya lagi pembangkang sentiasa menyalahkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai punca utama berlakunya peningkatan kos sara hidup.
“Kesimpulan mudah yang dibuat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab adalah menuding jari kepada pelaksanaan GST sebagai punca kekalutan dan menjadi keluhan masyarakat.
Katanya lagi, tohmahan pembangkang bahawa GST tidak memberi manfaat malah membebankan rakyat sebenarnya mainan politik mereka yang tidak bersyukur kepada nikmat tuhan.
“Sistem ini tidak harus dipertikaikan kerana pendapatan negara yang diperolehi daripada GST dipulang semula kepada masyarakat dalam bentuk pembangunan, pelbagai bantuan serta insentif.
“Dalam masa sama golongan ini sebenarnya mempunyai agenda demi kepentingan mereka tersendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.