Home PAU 2017 Zahid, Hishammuddin terharu keputusan perwakilan

Zahid, Hishammuddin terharu keputusan perwakilan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Dua Naib Presiden UMNO hari ini melahirkan rasa terharu mereka terhadap keputusan perwakilan UMNO hari ini yang sebulat suara meluluskan usul agar presiden dan timbalan presiden  tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan itu membolehkan kepemimpinan UMNO memberi tumpuan terhadap PRU-14.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melontarkan cadangan itu, begitu juga kepada pencadang usul yang juga wakil Pemuda UMNO serta penyokong dari Perak.

“Penghargaan juga kepada Badan Perhubungan Negeri yang menyokong cadangan ini termasuk mahu mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO disandang Hishammuddin sebagai jawatan kanan dan tidak dipertandingkan,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin juga mengakui beliau lega usul yang asalnya disuarakan oleh beliau di luar perhimpunan mendapat perhatian pembahas dan perwakilan seterusnya diluluskan perhimpunan parti.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul PAU 2017, saya terharu kerana proses demokrasi dalam UMNO berjalan dengan subur yang mana perwakilan membuat pendirian.

“Asalnya cadangan ini adalah pendirian peribadi saya bersandarkan keinsafan bahawa tumpuan sepenuhnya perlu diberikan kepada PRU-14.

“Saya lega walaupun tidak terkandung dalam usul asal secara demokratik, perwakilan menyedari perkara ini dan atas semangat setia kawan dan mahu menumpukan kepada pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai pengekalan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya, beliau menganggap ia sebagai satu amanah.

Terdahulu, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengumumkan PAU 2017 sebulat suara meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Langkah itu diambil selepas usul dicadangkan oleh wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

Pemuda UMNO ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dan pencadang, Mohamad Sahfri mengemukakan satu usul tambahan supaya dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan sebagai simbol walak kepada institusi presiden dan parti.

Usul itu disokong wakil Perak, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin. – MalaysiaGazette