KUALA LUMPUR – Permohonan maaf seorang ahli perniagaan muda bergelar Datuk Seri yang telah disabitkan empat tuduhan menyerang dan mencederakan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak boleh diterima sama sekali.
Malah Penguasa Rela, James Ee berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang kata putus berhubung permohonan maaf Liow Soon Hee, 29, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengambil tindakan selanjut.
“Apa yang berlaku kepada anggota petugas Rela kami adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima sama sekali, malah serangan itu telah dilakukan ke atas petugas kerajaan.
“Serangan yang dilakukan ke atas anggota kami bukan sesuatu yang boleh dimaafkan begitu sahaja malah mangsa juga tidak boleh memaafkan suspek kerana kes ini sudah di peringkat mahkahmah. Kita biarkan undang-undang untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA sebentar tadi.
Malah menurut James Ee, Soon Hee juga tidak pernah secara peribadi memohon maaf kepada Rela, sebaliknya hanya melakukannya dalam sidang media.
“Dia tidak pernah menyatakan sebarang rasa kesalnya kepada kami secara peribadi, sebaliknya kami hanya mengetahuinya melaui laporan media.
“Kami atau anggota yang menjadi mangsa kepada serangan Soon Hee juga tidak boleh membuat keputusan menerima permohonan maaf atau sebaliknya kerana kini kes ini sudah di peringkat mahkahmah. Kami tidak boleh mengulas apa-apa
“Bagaimanapun, bagi kami ini adalah satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima apatah lagi melakukan serangan terhadap anggota bertaraf kerajaan. Kita tunggu sahaja keputusan mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, Penguasa Kanan Bersekutu Rela Wilayah Persekutan merangkap Ketua Undang-Undang Kelab Rela, R. Moghan berkata, tindakan Son Hee yang hanya menggunakan media untuk menyatakan rasa kesal dan memohon maaf untuk ‘menyelesaikan’ kes itu sebenarnya tidak boleh dipandang ringan sebaliknya tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran pada masa hadapan.
“Insiden seumpama ini sebenarnya bukan sesuatu yang boleh ditangani secara mudah atau dipandang ringan begitu sahaja kerana serangan itu dilakukan terhadap penjawat awam selain menghalang mereka daripada melakukan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.
Bagi kesalahan pertama, Soon Hee didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini, jam 6.30 pagi, pada 27 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Soon Hee turut dituduh menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang sedang menjalankan tugas sebagai anggota Rela, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan ketiga dan keempat, dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Leong Jun Jie, 21, dan Mun Khai, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Soon Hee baru-baru ini telah mengadakan sidang media dan meluahkan rasa kesal terhadap tindakannya malah menyatakan kesediaanya untuk menerima apa sahaja keputusan mahkamah dengan rela hati. – Malaysiagazette