Home Utama Empat dibunuh sebelum rumah dibakar

Empat dibunuh sebelum rumah dibakar

Polis percaya empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang hari ini adalah mangsa bunuh.

SHAH ALAM – Polis percaya empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang hari ini adalah mangsa bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata ini berdasarkan siasatan awal yang mendapati ada kesan tetakan pada tubuh tiga mangsa terbabit.

Polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.50 pagi dan pasukan bomba yang digegaskan ke lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran kira-kira pukul 7 pagi sebelum menemukan mayat empat mangsa dalam keadaan rentung, katanya dalam kenyataan di sini.

“Hasil siasatan awal bomba mendapati ada unsur khianat dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata mereka yang terkorban dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan Bin, 3.

Difahamkan, dalam kejadian itu seorang lagi cucu lelaki pasangan warga emas terbabit yang berusia 12 tahun terselamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun Fadzil berkata punca sebenar kematian hanya boleh disahkan selepas bedah siasat dijalankan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.08 pagi dan tiga jentera berserta 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya rumah tersebut.

— BERNAMA