Home Utama Forex: Polis ambil keterangan Tun M

Forex: Polis ambil keterangan Tun M

Peguam, Hanif Khatri Abdulla (tengah) berada di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi keterangan kepada polis berhubung kerugian yang dialam Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urusniaga wang asing. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.

PUTRAJAYA- Dua buah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) bagi mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua kereta itu tiba tepat jam 1.34 petang dengan membawa 4 orang pegawai yang kemudiannya memasuki perkarangan YKP.

Empat pegawai itu dipercayai dari Ibu Pejabat Bukit Aman.

Ketibaan mereka adalah bagi mengambil keterangan Dr Mahathir berhubung kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) kira-kira 25 tahun lalu.

Malah kelihatan beberapa peguam yang diketuai Haniff Khatri Abdulla turut hadir ketika polis menyoal siasat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Siasatan itu berhubung satu laporan polis dibuat setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Datuk Dr Yusof Ismail pada 30 November lalu.

Sebelum ini, panel enam anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan membuat kesimpulan terdapat unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian forex ditanggung BNM dan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

RCI itu dalam laporannya menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

Mereka turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

RCI itu bersidang selama 8 hari mulai 21 Ogos hingga 19 September lalu dengan memanggil 25 saksi.

Sebanyak 42 dokumen diserahkan sepanjang prosiding dijalankan.

Laporan RCI setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong 13 Oktober lalu dan diedarkan kepada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 30 November lalu. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.