PUTRAJAYA – Persatuan sukan sepak takraw, taekwondo dan angkat berat akan diberi penjelasan sebab penguguran mereka dari sukan teras menjelang Sukan Malaysia 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk berjumpa dengan ketiga-tiga persatuan itu untuk menjelaskan sebab mereka digugurkan.
“Saya sudah serahkan kepada KP, saya tidak mahu mendahului apa sahaja sebelum sebarang rayuan yang mungkin saya akan terima selepas ini dalam isu berkaitan.
“Cuma langkah pertama apabila Shapawi balik dari Jakarta nanti, beliau akan menjelaskan kepada ketiga-tiga pihak terbabit mengenai tindakan tegas itu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada pihaknya akan memberi peluang kepada tiga persatuan terbabit mengemukakan rayuan terhadap keputusan pengguguran itu selepas merasmikan Rimau Cafe di pejabat Kementerian Belia Sukan.
Kafe tersebut akan menerima pekerja autisme.
Khairy berkata, beliau telah membaca kenyataan ketiga-tiga persatuan sukan itu yang menyifatkan tindakan pengguguran mereka sebagai tidak adil dan perlu dipertimbangkan semula. – MalaysiaGazette