Home Utama Tun M berdepan tiga tuduhan berkaitan isu Bugis

Tun M berdepan tiga tuduhan berkaitan isu Bugis

Peguam, Haniff Khatri Abdulla. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menghadapi tiga pertuduhan berhubung isu kenyataan ‘lanun Bugis’ yang dibuatnya pada 14 Oktober lalu.

Menurut peguamnya, Hanif Khatri Abdulla, perkara itu dimaklumkan berdasarkan soalan-soalan yang diajukan kepada Dr Mahathir.

“Siasatan adalah menjurus kepada tiga pertuduhan dalam tiga akta. Satu adalah di bawah Akta Hasutan 1948, kedua adalah Seksyen 504, Akta Kanun Keseksaan, dan satu lagi adalah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tun sudah beri kenyataan mengenai isu Bugis ini dan dia telah jelaskan. Jika polis mahu dia jawab di mahkamah, maka dia akan jawab di mahkamah. Tun boleh naik mahkamah dan jawab di sana,” katanya ketika ditemui di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Terdahulu, empat anggota polis Bukit Aman yang menaiki dua buah kereta tiba di perkarangan YKP jam 1.34 petang tadi dan mengambil masa 45 minit untuk sesi mendapatkan keterangaan daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Tambah Haniff, 32 soalan diajukan kepada Dr Mahathir iaitu 22 soalan merit dan 10 soalan prosedur.

Sejumlah tujuh muka surat direkodkan dalam sesi keterangan tersebut.

Katanya, Mahathir bertegas untuk menjawab segala pertuduhan terhadap beliau sekiranya pertuduhan ini dibawa ke mahkamah.

“Tun tidak bimbang akan hukuman akan pertuduhan. Tetapi kalau nak buat tuduhan, lebih baik buat pertuduhan. Jangan buang masa dia. Ini kali kelima polis ambil keterangan dia dalam pelbagai isu. Ini kali pertama bagi isu Bugis.

“Kalau nak tuduh, buatlah di mahkamah. Dia akan beri keterangan di mahkamah,” katanya.

Keempat-empat pegawai polis dilihat meninggalkan perkarangan YKP jam 3.15 petang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebelum ini menegaskan, kenyataan yang dikeluarkannya pada perhimpunan anti-kleptokrasi pada 14 Oktober itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tidak ditujukan kepada masyarakat Bugis.

Susulan kenyataan itu, Dewan di-Raja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 17 Oktober lalu, dua laporan polis dibuat oleh Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan Dr Mahathir itu. -MalaysiaGazette.