Home Seni Hidup KL Genta kembali gegarkan KL Sabtu Ini

KL Genta kembali gegarkan KL Sabtu Ini

KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Pelbagai persembahan dari beberapa negara mewarnai Festival Drum dan Tarian Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (Genta) di Dataran Merdeka malam ini. --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Festival Dram dan Tarian Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KL Genta) akan kembali menggegarkan ibu negara buat kali keempat Sabtu ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana di sini.

Program yang dibuka secara percuma kepada umum itu akan bermula pada 8.30 malam dan bakal menampilkan pelbagai persembahan oleh 180 peserta dari Thailand, Filipina, Uzbekistan, Kazakhstan, Sri Lanka, Iran dan Indonesia.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata penganjuran KL Genta dilihat bertepatan bagi mencapai wawasan negara dalam mewujudkan keseimbangan melalui pembangunan infrastruktur dan ekonomi supaya seiring dengan pembangunan seni dan budaya.

“Program sebegini juga membolehkan masyarakat memahami dan menghayati nilai-nilai tradisional, fesyen, muzik dan budaya dari seluruh dunia melalui persembahan tarian dan dram.

“Saya berharap lebih banyak negara akan menyertai KL Genta akan datang. Panggung Anniversari dipilih sebagai venue festival supaya ia menjadi mercu tanda bandar raya dalam persembahan kebudayaan dan kesenian,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam KL Genta 2017 di sini, malam ini.

Katanya peserta-peserta KL Genta telah mula membuat persembahan poket di beberapa pusat beli-belah terpilih di sekitar ibu negara bermula hari ini hingga Jumaat ini.- BERNAMA