Home Ekonomi McDonald’s Malaysia labur RM1.4 bilion

McDonald’s Malaysia labur RM1.4 bilion

PETALING JAYA – McDonald’s Malaysia merancang untuk melabur lebih RM1.4 bilion bagi menambah 185 lagi cawangannya di seluruh Malaysia menjelang 2025.

Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan, Gerbang Alaf Sdn. Bhd., Azmir Jaafar berkata, ia akan membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan apabila kesemuanya beroperasi kelak.

“Kami melihat potensi besar di negara ini dan kami percaya pihak kami dapat menyebarkan kesan positif kepada ekonomi negara.

“Tiada entiti perniagaan yang ingin melabur di negara yang mana mereka tidak disambut atau diberi layanan yang adil,” katanya semasa sidang media berhubung tindakan yang diambil syarikat susulan isu boikot di Ibupejabat McDonald’s Malaysia di sini hari ini.

Selepas 35 tahun bertapak di negara ini, McDonald’s Malaysia memiliki 265 restoran dan 12,000 pekerja.

Enggan mendedahkan jumlah jualannya, Azmir berkata, McDonald’s Malaysia yang dimiliki oleh syarikat tersebut dan Lionhorn Pte Ltd. dari Arab Saudi menerima kira-kira 13 juta pelanggan setiap bulan.-MalaysiaGazette