Home Utama IMAMS bukan kaedah terbaik – Pemuda UMNO

IMAMS bukan kaedah terbaik – Pemuda UMNO

Nazir Hussin Akhtar Hussin chicken export ban
Nazir Hussin Akhtar Hussin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO yang membantah pelaksanaan Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) dengan mengenakan beberapa bayaran bagi umat Islam yang berhasrat mengerjakan umrah menyifatkan pelaksanaannya bukannya tindakan bijak.

Pergerakan itu memahami keputusan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah yang semakin berleluasa, namun berpendapat pelaksanaan IMAMS yang dikuatkuasakan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bermula semalam bukan kaedah yang terbaik.

Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin mempersoalkan transformasi yang cuba dilakukan oleh kementerian terbabit  kerana yakin ia hanya akan mengundang kemarahan rakyat kepada kerajaan akibat penambahan kos mengerjakan umrah.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak bijak malah langsung tidak cerdik!,” katanya yang juga Pengerusi Biro Help dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perkhidmatan IMAMS bukan percuma, malah umat Islam yang berhasrat menunaikan umrah dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM5.10 selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 untk insurans.

“Berapa banyak untung yang masuk ke dalam syarikat tersebut?, soal beliau.

Katanya, memang sering kedengaran berita jemaah yang hendak mengerjakan umrah ditipu sejak kebelakangan ini namun kenapa perlu diwujudkan IMAMS.

Tambah beliau, banyak mekanisme lain yang boleh difikirkan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah itu tetapi bukanlah dengan kaedah yang hanya menimbulkan polemik yang langsung tidak menguntungkan, malah membebankan pengguna.

“Tidak masuk akal hal umrah diberikan kepada syarikat swasta yang diterajui oleh bukan Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, sepatutnya Tabung Haji (TH) yang diberi tanggungjawab tersebut, bukannya kepada syarikat swasta yang dikuasai bukan Islam menguruskan IMAMS dengan pemberian Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 Oktober lalu.

Malah Pemuda UMNO turut kecewa apabila TH langsung tidak membantah, menentang dan tidak bersuara berkenaan pelaksanaan IMAMS, sekali gus menunjukkan pengurusan tertinggi TH langsung tidak peka dengan maslahah yang berlaku ini.

“Apabila timbul isu sebegini sudah tentu menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat khususnya orang Islam bahawa TH tidak cekap sehingga ada syarikat yang diterajuj oleh bukan Islam bijak merebut peluang dalam hal ibadah orang islam,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, Nazir berkata, pergerakan itu mendesak kerajaan agar menimbangkan semula pelaksanaan IMAMS dan diganti dengan mekanisme lain yang lebih sesuai.

“Pengendali atau penganjur pakej umrah juga disaran agar menolak sistem ini untuk membantu jemaah mengerjakan umrah.

“Kerajaan perlu buka mata. Ini bukan masalah nak menang PRU14 tetapi kelemahan dan tidak cerdik kementerian berkaitan serta Tabung Haji yang diamanahkan untuk menjaga hak orang Islam,” katanya – MalaysiaGazette.