NEW YORK – Pengiktirafan terhadap Baitulmaqdis baru-baru ini tidak terkesan daripada aspek undang-undang.
Justeru statusnya perlu dikekalkan seperti sebelum ini, demikian antara pertimbangan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut diplomat, majlis akan mengundi berhubung langkah dicadangkan seawal esok.
Resolusi itu antara lain menekankan Baitulmaqdis ialah isu yang perlu diselesaikan menerusi rundingan dan meluahkan kekesalan mendalam terhadap keputusan mengenai Baitulmaqdis, tanpa merujuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Sebarang keputusan dan tindakan yang mengubah sifat, status atau kedudukan demografi Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, tidak sah dan terbatal dan perlu dibatalkan,” menurut draf yang diedarkan Sabtu.
Diplomat menambah, tidak dinafikan jangkaan AS akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang langkah itu, manakala kebanyakan 14 negara anggota majlis berkenaan dijangka menyokong resolusi itu.
Justeru semua negara digesa tidak membuka kedutaan di Baitulmaqdis, membayangkan kebimbangan kerajaan lain akan mengikut jejak AS. -MalaysiaGazette