Home Politik Batal notis merah bebaskan Zakir Naik daripada fitnah

Batal notis merah bebaskan Zakir Naik daripada fitnah

Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Interpol yang membatalkan notis merah terhadap penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik sebagai tepat pada masanya.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu bukan sahaja dapat membersihkan nama ilmuan Islam antarabangsa itu bahkan membebaskan Zakir daripada pelbagai fitnah.

“Perkasa bersyukur kepada Allah atas pelepasan yang diberikan kepada pendakwah tersohor antarabangsa Dr. Zakir Naik oleh Interpol atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang didakwa oleh kerajaan India.

“Ia boleh membersihkan nama Dr. Zakir Naik daripada sebarang tuduhan yang melulu, prasangka, prejudis dan fitnah. Alhamdulillah dan terima kasih Interpol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Oktober lepas, National Investigation Agency (NIA) India telah menfailkan senarai tuduhan terhadap Zakir kerana didakwa mempengaruhi para belia untuk melakukan aktiviti keganasan dan ucapan berbaur kebencian.

Bagaimanapun pada Sabtu lepas, Interpol telah membatalkan permohonan NIA untuk mengeluarkan notis merah terhadap Tokoh Ma’al Hijrah Malaysia 2013 itu.

Ibrahim juga berkata, pihaknya berasa lega apabila bukan sahaja notis merah itu dibatalkan, malah Interpol juga mengarahkan semua pihak memadam semua bentuk fitnah ke atas Zakir.

“Perkasa juga bersyukur kerana Interpol juga telah mengarahkan semua pihak agar memadamkan semua data berkaitan dengan dakwaan palsu terhadap Dr. Zakir Naik,” katanya.

Beliau berkata lagi, tindakan Interpol ini diharapkan membuka mata pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy dan 18 lain agar menarik balik saman terhadap Zakir sebagai ancaman keselamatan negara.

“Diharap pihak Hindraf dan kumpulannya menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap Dr Zakir Naik demi menjernihkan hubungan antara kaum dan agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette