KUALA LUMPUR – ‘Perebutan’ kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MIC dan MyPPP tiba ke penghujungnya.
Kini kedua-dua parti komponen Barisan Nasional itu membuat keputusan untuk membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional memberi kata putus.
Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas berkata pihaknya telah membuat pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam baru-baru ini bagi menyelesaikan persengketaan ini.
“Bagi kita, kemenangan BN dua pertiga adalah matlamat utama kita. Kita tidak mahu juga ada pihak luar mempergunakan pertikaian seperti ini untuk agenda peribadi mereka.
“Pada saya, tidak ada istilah ‘kerusi tradisi’ sebaliknya calon yang boleh menang sahaja. Kita biarkan Perdana Menteri untuk membuat keputusan kerana pada akhirnya, itu juga merupakan keputusan terbaik untuk semua,” katanya selepas melancarkan pra pelancaran Televisyen Wanita Pertama Asia (WTV) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kavyeas semalam telah mengadakan ‘rumah terbuka’ kediamaan rasminya di Carnation Park, Tanah Rata, Cameron Highlands sekaligus juga menunjukan kesungguhan beliau untuk bertanding kerusi berkenaan.
Perebutan kerusi yang dipercayai ‘kerusi selamat’ BN itu terus berlaku antara Kavyeas dan Penyelaras Cameron Highlands merangkap Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh.
Penyandang kini, Datuk Seri G. Palanivel merupakan bekas Presiden MIC sebelum di isyitihar menjadi Ahli Parlimen bebas selepas hilang keanggotaanya dalam parti itu semasa krisis MIC pada 2015.
Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamny yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC pernah menang dua kali berturut-turut kerusi Cameron Highland pada PRU 11 dan 12.
Menurut Kavyeas, beliau juga akan ‘bermati-matian’ mempertahankan kerusi itu kerana rata-rata penduduk di Cameron Highlands mahu calon BN untuk terus berkhidmat di kawasan itu.
“Sudah tentu saya akan bertanding kerusi Cameron Highlands seperti kemahuan penduduk dan mandat dari pada kepimpinan tertinggi. Pada masa yang sama, saya telah bertemu dengan Subramaniam, kami akan tunggu keputusan muktamad yang akan dibuat oleh Presiden BN.
“Saya rasa tidak ada soal ‘kerusi tradisi’ lagi. Yang pasti kali ini, kita mahukan calon ‘winnable’ yang boleh menang. Kemenangan ini bukan lagi kemenangan MyPPP tetapi untuk BN.
“Perdana Menteri juga tahu tentang perkara ini malah beliau juga mahukan ‘winnable candidate’ untuk kemenangan besar pada PRU-14 nanti itu yang jauh lebih penting,” ujarnya.- MalaysiaGazette