RIO DE JANEIRO – Bekas bintang Piala Dunia Brazil, Kaka akhirnya mengucap selamat tinggal dalam karier bola sepak sebagai pemain namun mahu beralih dalam bidang pengurusan selepas ini.
Bekas pemenang Ballon d’Or 2007 memberi bayangan dia mungkin memilih kelab AC Milan untuk kekal dalam dunia bola sepak.
“Saya mahu terus berada dalam bola sepak dan mengambil peranan yang berbeza walaupun saya tidak lagi pemain profesional.
“Saya masih mampu memainkan peranan dalam kelab sama ada pengurus dan pengarah sukan,” ,” kata kepada stesen televisyen Globo.
Kaka, 35, berkata, AC Milan menjadi pilihannya kerana kelab yang menaikkan namanya di pentas dunia tampil memberi cadangan selepas persaraannya.
Menerusi laman sosial Twitter miliknya, Kaka yang berada dalam skuad Brazil yang memenangi Piala Dunia 2002 menulis dia bersyukur dan bersedia untuk mengharungi cabaran berikutnya.
Memulakan karier bersama kelab Sao Paulo di Brazil, prestasi luar biasanya menyebabkan dia diburu beberapa kelab ternama Eropah sebelum berhijrah ke Itali untuk menyertai Milan pada 2003.
Dia memenangi anugerah Ballon d’Or yang juga pemain terbaik dunia ketika di Milan dan menjadi pemain terakhir selepas Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi silih berganti memenangi gelaran berkenaan.
Di Milan, dia membantu gergasi Itali itu menjuarai Serie A pada musim 2003-04 selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2007 dengan menjaringkan 10 gol yang juga gelaran Eropah ketujuh kelab berkenaan.
Dianggap antara pemain tengah menyerang terbaik dunia, Kaka menyertai Real Madrid pada 2009 dengan perpindahan memecah rekod dunia AS$89 juta (RM363.08 juta) tetapi gagal untuk tampil dengan aksi konsisten.
Dia menjulang Piala Raja Sepanyol pada 2011 dan menjadi sebahagian daripada skuad kendalian Jose Mourinho yang menjuarai La Liga setahun kemudian tetapi kembali ke Milan pada September 2013 secara percuma.
Pada 2014, dia menyertai kelab Liga Bola Sepak Major Orlando City dan menjadi pemain menerima gaji tertinggi di Amerika Utara selama tiga tahun sebelum meninggalkannya pada Oktober lalu. – MalaysiaGazette