Home Politik Negara perlukan lebih ramai ‘Cikgu Azizan’ – Idris

Negara perlukan lebih ramai ‘Cikgu Azizan’ – Idris

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Negara memerlukan lebih ramai pendidik seperti ‘Cikgu Azizan’ yang sanggup menempuh apa sahaja cabaran termasuk berdepan tindakan saman di mahkamah.

Demikian ujar Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sambil menegaskan, rakyat bersama Cikgu Azizan kerana komited menjalankan tugasnya sebagai pendidik.

“Tahniah kepada Cikgu Azizan kerana menjalankan tugas dengan penuh didikasi. Takziah kepada cikgu kerana disaman hingga ke mahkamah. Semoga Cikgu Azizan tabah dan cekal menghadapinya.

“Tidak mengapa cikgu, majoriti rakyat bersama cikgu. Cikgu didakwa bukan kerana menjadi pengedar pil kuda di sekolah, bukan kerana rasuah tetapi cikgu didakwa kerana menjalankan tugas sebagai pendidik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Oktober lalu, Cikgu Azizan dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar.

Jika disabit, Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Azizan merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan

Idris juga berkata, Cikgu Azizan boleh hidup selesa tanpa bersusah payah memikirkan masalah yang ditimbulkan pelajar sekolah itu sekiranya dia bukan seorang guru yang tidak bertanggungjawab.

“Biarlah anak muridnya hendak jadi manusia atau tidak. Apa yang penting setiap bulan gaji tetap dapat. Tetapi ini bukan watak Cikgu Azizan. Semoga keadilan berpihak kepada Cikgu Azizan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.