Home Sukan S. Kumar gagal ujian doping

S. Kumar gagal ujian doping

S. Kumar

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dikejutkan dengan berita seorang pemain kebangsaan didapati positif ujian doping sewaktu Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Perkara mengejutkan itu diumumkan Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal pada satu sidang media khas yang turut dihadiri Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Menurut Subahan, penjaga gol hoki kebangsaan S. Kumar dikesan positif ujian doping ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia ketika bertemu Oman pada 16 Oktober lalu.

“Kita menerima surat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bertarikh 12 Dis lepas mengumumkan kegagalan ujian doping melibatkan Kumar.

 “Kumar dikesan menggunakan bahan terlarang Sibutramine dalam ujian sampel air kencing yang dilakukan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” katanya lapor Bernama di sini, hari ini.

Justeru, Subahan berkata buat masa ini, Kumar akan digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun, dengan sesi pendengaran dijangka diadakan pada Januari tahun depan.

Dalam pada itu, Subahan berkata KHM sentiasa berada di belakang Kumar untuk memberi sokongan moral dan akan bekerjasama dengan Adamas bagi mendapatkan khidmat nasihat untuk menyelesaikan perkara itu dengan jalan terbaik.

“Kumar merupakan pemain berdisiplin dan sudah lama berkhidmat bersama skuad kebangsaan, pastinya kita akan memberi sokongan dan bantuan sekiranya diperlukan.

“Kalau kita lihat pada surat FIH, bahan terlarang dikesan pada Kumar juga adalah pada kadar sedikit ataupun ringan dan ia bukanlah bahan yang digunakan untuk meningkatkan prestasi sebaliknya hanya sebagai bahan untuk pelangsingan badan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ramlan berkata kejayaan Malaysia muncul naib juara Piala Asia 2017, bagaimanapun tidak terjejas kerana kegagalan ujian doping itu hanya melibatkan seorang pemain.

“Menurut peraturan WADA, keputusan sesuatu pasukan hanya akan dibatalkan sekiranya terdapat dua orang dan ke atas yang gagal dalam ujian doping.

“Jadi dalam hal ini, kedudukan pasukan negara masih lagi selamat dan keputusan naib juara itu kekal dan tidak akan dibatalkan,” katanya.- MalaysiaGazette