KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal kukuh pada kadar lima peratus tahun depan disebabkan oleh penyederhanaan eksport serta keadaan kredit yang lebih ketat.
Pakar Ekonomi Institute Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Sina Fenner berkata, pemulihan pertumbuhan global yang berterusan akan memberi sokongan kepada eksport namun momentum tersebut dijangka berkurangan pada tahun 2018 apabila pemulihan perdagangan mula memasuki fasa matang.
Ini ditambah dengan pertumbuhan import China yang menyederhana akibat dasar monetari yang lebih ketat.
“Import China akan berkurangan sehingga menyebabkan eksport negara merosot berbanding tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fenner turut menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan meningkat sebanyak 25 mata peratusan pada suku pertama tahun depan.
Bagaimanapun ini pastinya akan meningkatkan kos perkhidmatan hutang isi rumah rakyat Malaysia.
“Kami menjangkakan pusingan dasar monetari akan dilakukan secara berperingkat,” katanya lagi.
Tambah beliau, paras hutang isi rumah dijangka menjadi fokus pada tahun depan yang mana kerajaan akan melakukan pemantauan dengan teliti.-MalaysiaGazette