Home Utama ‘Kemenangan’ kepada Cikgu Azizan

‘Kemenangan’ kepada Cikgu Azizan

SEREMBAN – Mahkamah Majistret Seremban hari ini menarik balik pendakwaan terhadap guru sekolah Azizan Manap dan menggugurkan tuduhan terhadapnya atas dakwaan memukul murid.

Majistret, Mohd. Zaki Abdul Rahman turut mengarahkan wang jaminan RM500 yang ditetapkan untuk pembebasan Azizan sebelum ini dikembalikan.

Pada Oktober lalu, Azizan dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar, yang menurut pihak sekolah terbabit dalam beberapa pelanggaran disiplin.

Jika disabit, Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Azizan hari ini ditemani di mahkamah oleh kira-kira 300 orang yang kebanyakannya guru bagi menyatakan solidariti terhadapnya.

Sebelum ini, warga guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di Nilai, melancarkan kempen menyokong Azizan.

Kempen itu turut menerima sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang turut mengajak guru berhimpun di mahkamah hari ini di samping menyediakan peguambela untuk Azizan. – MalaysiaGazette