KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) berhubung status Baitulmaqdis sudah dijangka.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia kecewa dengan tindakan AS itu dan kekal dengan pendirian bahawa isu Baitulmaqdis di Palestin adalah faktor yang mendorong semua negara anggota PBB tidak mengiktiraf segala usaha untuk mengubah karektor dan status Baitulmaqdis.
“Sebanyak 14 undi menyokong berbanding satu undi menentang dalam mesyuarat UNSC adalah petunjuk jelas yang masyarakat dunia menolak tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” katanya dalam satu kenyataan.
Draf resolusi itu dibentangkan Mesir bertujuan membatalkan pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Sesi pengundian menyaksikan 14 ahli Majlis Keselamatan menyokong draf resolusi berkenaan, namun AS menggunakan kuasa veto menentangnya melalui dutanya ke PBB, Nikki Haley.
Draf resolusi itu menekankan status akhir Baitulmaqdis perlu diselesaikan menerusi rundingan sejajar dengan keperluan resolusi PBB.
Ia turut menuntut semua negara mematuhi 10 resolusi yang diluluskan PBB berhubung Baitulmaqdis sebelum ini.
Dalam perkembangan sama Anifah berkata, Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif diusulkan Turki supaya Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung PBB (UNGA) diadakan bagi membincangkan isu itu, dengan mengemukakan resolusi yang hampir sama. – MalaysiaGazette