Home Politik Ada wakil PH hadir Himpunan Solidariti Baitulmaqdis esok -Ahmad Zahid

Ada wakil PH hadir Himpunan Solidariti Baitulmaqdis esok -Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas merasmikan Kilang Datasonic di Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2017.

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ada wakil Pakatan Harapan (PH) akan hadir pada Himpunan Mempertahankan Baitulmaqdis, esok.

Jelasnya, meskipun ada pemimpin PH yang menolak untuk menjadi ahli panel himpunan berkenaan, namun pihak penganjur telah mendapat pengganti individu berkenaan.

“Ada yang mewakili Amanah (Parti Amanah Negara), ada yang mewakili PKR,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di kilang Datasonic, di Petaling Jaya hari ini.

Parti Amanah Negara (PAN) sebelum ini menegaskan tidak akan menyertai perhimpunan mempertahankan kota suci umat Islam itu yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya.

Naib Presidennya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, tunjuk perasaan itu tidak ada bezanya dengan tunjuk perasaan yang telah dilakukan Pakatan Harapan (PH).

“Kita dah ada ganti dia (Mujahid) daripada parti dia yang sama. Biarlah gaduh sesama sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyindir status kelulusan pendaftaran PH susulan tiadanya kesefahaman dalam status mengenai Baitulmaqdis.

“Pakatan Harapan itu apa? Ahlinya siapa, PH itu parti sudah daftar ke belum?” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini mempelawa rakyat Malaysia serta Badan Bukan Kerajan (NGO) serta kepimpinan parti pembangkang untuk menyertai tunjuk perasaan itu.

Pelawaan itu bagi menghimpunkan semua pihak menunjukkan solidariti dalam isu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Himpunan berkenaan sekali lagi akan menempatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia kali kedua selepas kedua-dua mereka sepentas pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada 4 Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette