SEOUL – Seorang anggota tentera Korea Utara berpaling tadah ke Korea Selatan hari ini menerusi sempadan, kata tentera negara jiran di selatan itu.
Anggota tentera ‘berpangkat rendah’ itu muncul di hadapan pos kawalan tentera pada jam 8.04 pagi ini ketika keadaan kabus tebal, menurut Ketua Staf Bersama (JCS).
Pembelotan terbaharu itu tidak membabitan sebarang tembakan dilepaskan oleh tentera Korea Utara dan ia merupakan kes berpaling tadah yang keempat pada tahun ini, lapor agensi berita, Yonhap.
Tiada pergerakan luar biasa tentera di kesan di sempadan Korea Utara, kata seorang pegawai JCS kepada pemberita.
Pihak berkuasa berkaitan kini sedang meneliti tujuan individu tersebut melarikan diri, katanya.
Dalam pengumuman bersaingan, seorang pegawai Kementerian Penyatuan berkata, dua warga Korea Utara yang menaiki bot menangkap ikan telah melarikan diri ke Korea Selatan semalam.
Bot tersebut dilaporkan ditemui di Laut Timur oleh pesawat peronda tentera laut dan warga asing itu menyatakan niat untuk berpaling tadah.
Pada bulan lalu, seorang anggota tentera berjaya melarikan diri ke Korea Selatan menerusi Kampung Panmunjom selepas mengalami kecederaan akibat ditembak oleh pengawal sempadan negara komunis itu.
Perangkaan rasmi JCS menunjukkan seramai 15 warga Korea Utara, termasuk empat anggota tentera, telah melarikan diri ke Korea Selatan pada tahun ini berbanding seorang anggota tentera dan empat orang awam pada tahun lalu. – Agensi