KUALA LUMPUR – Kadar potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib akan dikembalikan semula kepada 11 peratus kepada ahli yang berusia di bawah 60 tahun dan 5.5 peratus kepada yang berusia 60 tahun ke atas.
KWSP dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, langkah itu adalah bagi upah atau gaji Januari 2018 (sumbangan KWSP pada Februari).
Ini kerana kadar caruman wajib sebanyak lapan peratus yang bermula pada Mac 2016 akan tamat pada hujung bulan ini (caruman pada Januari 2018).
Ini sejajar dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan semakan Bajet 2016 yang lalu.
“Dengan itu, majikan diminta untuk memastikan sumbangan tepat dipotong daripada gaji pekerja dan dimasukkan ke KWSP sejajar dengan kadar caruman baharu.
“Kadar sumbangan terkini pekerja dan majikan boleh dirujuk di Jadual Tiga, Akta KWSP 1991,” katanya.- MalaysiaGazette