Home Politik Gagal bina surau: Penduduk mula sokong BN sejak PRU13

Gagal bina surau: Penduduk mula sokong BN sejak PRU13

Ketua Barisan Nasional Kawasan Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin berucap pada Majlis Perasmian Tapak Surau Jumaat di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 21 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Hampir 5,000 umat Islam di sekitar Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini bakal menikmati kemudahan surau Jumaat apabila ia dijangka mula dibina selewat-lewatnya pada Mac depan.

Ketua Barisan Nasional (BN) Kawasan Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, ia perlu disegerakan memandang penduduk di situ terpaksa memandu sejauh satu kilometer setiap kali ingin menunaikan solat Jumaat.

“Penduduk sini sudah lama minta (surau Jumaat) kerana tiada surau berdekatan di kawasan ini. Ia dijanjikan oleh pemaju asal di sini tapi mereka tidak tunaikan tanggungjawab mereka.

“Sebab itu kebanyakan penduduk di sini pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ramai yang menyokong BN kerana marah kepada kerajaan (Pakatan Harapan),” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian tapak surau Jumaat di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Ketua Barisan Nasional Kawasan Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin (kanan) memotong reben sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Aziz Jusoh (dua kiri) pada Majlis Perasmian Tapak Surau Jumaat di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 21 DISEMBER 2017

Beliau berkata, kerajaan BN akan memberikan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada pemaju terbabit bagi menyiapkan pembinaan surau Jumaat bertingkat di atas tanah milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Bila saya dapat tahu, saya terus perjuangkan dengan pihak JAWI dan hari ini Alhamdulillah ia jadi kenyataan.

“Saya minta kepada ketua pengarah JAWI biar ia mula dibina pada Mac 2018 dan pembinaannya mungkin makan masa setahun,” jelasnya.

Katanya lagi, pada masa ini pihak pemaju hanya menyediakan surau sementara menggunakan kontena dan ia masih tidak mampu menampung jumlah jemaah solat Jumaat pada satu masa. – MalaysiaGazette