KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mengesyaki mungkin ada pihak tertentu yang berniat menipu dan menyeleweng serta menggaburi kepimpinan tertinggi Felda dalam isu penjualan tanah.
Sayap pemuda negeri Jelapang Padi itu menyatakan rasa terkejut dan kecewa terhadap isu tanah Felda di Jalan Semarak yang bakal hilang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan pada masa yang sama mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat perladangan gergasi bumiputra itu.
Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yakin bahawa perkara itu bukan setakat ‘salah tadbir urus’ tetapi mendakwa wujud gerakan pihak tertentu yang sengaja mahu menipu dan menyeleweng.
“Pemuda UMNO Kedah bimbang sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dengan segera rakyat akan kembali melontarkan persepsi negatif yang bakal sukar ditangani oleh kerajaan dan parti.
“Namun apa yang terjadi adalah terlalu besar dan ianya perlu ditangani dengan kadar segera dan terbuka.
“Hakikatnya sudah terlalu banyak isu dan kontroversi menyelubungi Felda dan rakyat sudah tentu mengharapkan kerajaan dgn segera menyelesaikan kemelut ini dengan lebih tegas tanpa melindungi sesiapa yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar pihak jawatankuasa tertinggi Felda mewujudkan sebuah jawatan kuasa inkuiri bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Justeru katanya, rakyat memerlukan jawapan mengenai kemelut Felda yang bakal memberi krisis kredibiliti terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Malah tegasnya, rakyat sebenarnya sudah letih dan muak akan kemelut dan salah tadbir urus Felda.
“Frasa enough is enough adalah yang terbaik bagi gerakan yang seterusnya dan Kerajaan serta parti perlu buat keputusan tegas dan segera walaupun sukar demi mengembalikan keyakinan rakyat dan para peneroka.
“Pemuda UMNO Kedah yakin Felda akan terus menerus menjadi kudis dan bisul dalam kerajaan dan parti sekiranya ianya tidak ditangani segera.
“Pemuda UMNO Kedah hari ini juga menyambut baik tindakan dan azam pengerusi baharu Felda yang berjanji akan mengembalikan tanah Felda terbabit dan ianya amat bertepatan dengan masa dan keadaan, tetapi jangan melindungi individu tertentu yang membenarkan keputusan yang merugikan dan tidak bertanggungjawab ini.
“Tindakan Pengerusi Felda yang baru ini bakal menentukan keputusan rakyat untuk PRU yang akan datang nanti,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette