Home Utama Jangan perlekeh Malaysia, kita ada prinsip isu Baitulmaqdis

Jangan perlekeh Malaysia, kita ada prinsip isu Baitulmaqdis

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberi ucapan bantahan terhadap keputusan Amerika Syarikat yang memindahkan pusat pentadbiran Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 22 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas Amerika Syarikat (AS) supaya tidak memperlekehkan Malaysia hanya kerana membuat bantahan berhubung isu Baitulmaqdis.

Beliau menegaskan, negara tidak pernah meminjam sebarang bentuk pinjaman dari negara Uncle Sam tersebut.

Perdana Menteri mempertahankan pendirian Malaysia membantah keputusan AS memperakui Baitulmaqdis ibu negara Israel malah mengambil langkah berani dengan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantah keputusan Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel.

“Malam tadi, Menteri Luar telefon bertanya macam mana pandangan Malaysia dalam Persidangan Khas PBB… Malaysia sokong resolusi itu sebab Malaysia bukan negara yang minta sedekah dari negara-negara lain.

“Walaupun kuasa besar, jangan perlekeh Malaysia, kita pun ada maruah,” kata beliau semasa Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra hari ini.

Sebelum pengundian semalam, Presiden AS mengancam untuk memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang mengundi.

Sebanyak 128 negara menyokong resolusi PBB yang tidak mengikat, sembilan menentang dan 35 berkecuali sementara 21 negara tidak mengundi.

Najib menegaskan, Malaysia tidak pernah meminjam daripada Amerika sebaliknya mereka yang banyak meminta pertolongan Malaysia khususnya daripada aspek pelaburan.

“Mereka (AS) minta kita beli kapal terbang, melabur… maknanya ini menunjukkan Malaysia sebuah negara membangun yang boleh jadi model kepada negara lain,” katanya lagi.

Najib juga menegaskan, tidak akan menggadai prinsip dan kesucian Islam walaupun mempunyai hubungan baik dengan Trump.

“Saya nak jelaskan bahawa ya, saya disambut baik di Rumah Putih, ya Donald Trump sambut disana.

“Tapi dari segi prinsip, apa sekali pun saya tidak akan gadaikan kesucian Islam,” katanya lagi.

Himpunan hari ini diadakan bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pengiisytiharan Amerika baru-baru ini berhubung isu Baitulmaqdis sepatutnya dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi Presiden Pas itu tidak dapat hadir.

Ia digantikan oleh anaknya, Khalil Abdul Hadi yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa kumpulan NGO yang hadir bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Malaysia berhubung isu Baitulmaqdis. – MalaysiaGazette