Home Politik Kenyataan Liew mengenai kem tentera berniat jahat

Kenyataan Liew mengenai kem tentera berniat jahat

KUALA LUMPUR – Kenyataan Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berbohong mengenai kem tentera yang sedang dibina di kawasan Sembrong di Johor, adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Onn Hafiz Ghazi berkata Liew bukan sahaja memanipulasikan jawapan diberikan Menteri Pertahanan itu sebelum ini, tetapi juga mengeluarkan kenyataan bertujuan mengelirukan dan mengikis kepercayaan rakyat terhadap Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong.

“Jika perancangan pembinaan kem di Sembrong adalah berasaskan motif politik seperti yang didakwa Liew, sudah pastinya Datuk Seri Hishammuddin akan memastikan kem itu lengkap dan selesai dibina sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

“Namun, perkara tersebut tidak berlaku sama sekali dan kem berkenaan kini masih di peringkat pembinaan dan tidak mungkin siap sebelum PRU-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam laporan portal semalam, Liew yang juga Pengerusi DAP Johor dilaporkan menuduh Hishammuddin berbohong apabila beliau menafikan sebuah kem tentera sedang dibina di kawasan Sembrong.

Menurut laporan itu, Liew juga mendakwa Barisan Nasional menggunakan kem tentera tersebut untuk meningkatkan jumlah pengundi pada PRU akan datang.

Jelas Onn Hafiz, segala usaha sudah lama dilakukan dan perancangan pembinaan dan penambahbaikan kem adalah berasaskan keperluan serta kepentingan keselamatan negara di bawah Kementerian Pertahanan.

Katanya, DAP dilihat cuba mengaitkan perancangan keselamatan dengan motif politik, dan tindakan keji itu hanyalah untuk meraih populariti murahan melalui politik kebencian dan keraguan.

Sebagai Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Onn Hafiz berkata beliau juga terbuka untuk menjawab sebarang pertanyaan Liew jika pihaknya mempunyai keraguan bagi mengakhiri prasangka yang tidak baik itu.- BERNAMA