KOTA KINABALU – Masa Depan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan ditentukan daripada perbincangan berterusan antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Kewangan (MoF) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perbincangan ini amat penting, terutamanya sejak SESB mengalami kerugian berterusan dan hampir menerima insolvensi (kebankrapan).
TNB memiliki 82.75 peratus dalam SESB, sementara selebihnya dikuasai Kerajaan Negeri Sabah.
“Tarif purata semasa SESB adalah 34.52 sen/kilowat sejam (kwh) sementara kos penjanaan tenaga adalah 56.50 sen/kwh.
“Kerajaan Persekutuan telah memberi subsidi kepada kos bahan api SESB, iaitu diesel, minyak bahan api sederhana (MFO) dan gas, “kata Ongkili dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, tambahnya, Kerajaan Persekutuan juga menyediakan sebahagian besar perbelanjaan modal SESB.
Sejak 2012, sejumlah RM4.2 bilion telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan operasi SESB, malah TNB dan SESB juga telah membelanjakan bahagian mereka untuk perbelanjaan modal.
Untuk tempoh antara 2016 dan 2019, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM2.3 bilion untuk capex dan mengurangkan Indeks Tempoh Purata Gangguan Purata (SAIDI).
Ongkili menambah, melalui usaha ini, SAIDI di Sabah telah dikurangkan daripada 777 minit/ pelanggan/tahun pada tahun 2014 kepada 311 tahun lepas dan dijangka dikurangkan lagi kepada 280 menjelang akhir tahun.
SESB juga telah meminta tarif disemak sejak semakan terakhirnya pada 2014 namun ia adalah kuasa Kerajaan Persekutuan untuk memastikan tarif adalah adil dan berpatutan kepada pengguna.
“Kami juga ingin memastikan semakan tarif itu mencerminkan kualiti kuasa yang disampaikan,” kata Ongliki ketika mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd yang memaklumkan bahawa syarikat utiliti itu sedang berbincang masa dean SESB dan perjanjian baru yang akan menentukan pilihan terbaik. – MalaysiaGazette
Comments are closed.