KUALA LUMPUR – Kemasukan murid-murid yang terlibat dalam gejala dadah di sekolah-sekolah pemulihan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanyakan mereka merupakan pelajar lelaki yang berusia antara 12 hingga 13 tahun.
Sumber JKM berkata, hasil pemerhatian mendapati kanak-kanak yang terjebak dengan gejala dadah ini disebabkan oleh pengaruh gajet dan rakan-rakan yang berpunca daripada ‘penolakan di rumah’.
Menurut sumber yang terlibat dalam hal ehwal murid-murid di Sekolah Tunas Bakti, kebanyakan murid berkenaan datang dari keluarga bermasalah akibat perceraian ibu bapa, tidak mendapat perhatian dan disisihkan atas sebab-sebab tertentu.
“Apabila tidak ada kawalan atau pengawasan, anak-anak ini hidup terbiar dan akan mencari rakan-rakan yang mahu bersama mereka.
“Jika dapat kawan baik, tidak mengapa. Tetapi kebanyakan kawan mereka pun mengalami nasib sama, dengan ini mereka mudah terjebak dengan perkara-perkara tidak sepatutnya,” kata sumber itu dalam pertemuan baru-baru ini.
Sumber menambah, anak-anak yang baru terjebak dengan dadah masih mudah dipulihkan melalui pemantauan rapi oleh penjaga-penjaga di sekolah, selain mendapat sokongan keluarga.
Selain masalah dadah, kes-kes lain melibatkan kecurian, pergaduhan, gengsterism, bertumbuk, pil ectasy, hidu gam dan lari rumah.
Enggan mengulas lanjut tetapi katanya, ada juga ibu bapa yang lepas tangan apabila anak mereka sudah ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti.
Mengikut perintah mahkamah, ibu bapa atau keluarga perlu melawat anak-anak mereka setiap tiga bulan namun ada yang ingkar.
“Ini langsung tidak membantu pemulihan anak-anak ini dan bersedia untuk kembali ke pangkuan keluarga sebaik sahaja tempoh pemulihan tamat.
“Malah, sikap keluarga seperti ini menyebabkan anak-anak yang sedang dipulihkan terasa hati, sekaligus menjadikan mereka memberontak,” ujarnya yang mengakui ada anak-anak yang berat hati untuk meninggalkan Sekolah Tunas Bakti.
Dalam pada itu, beliau memesan agar ibu bapa mengawal penggunaan gajet dan waktu tidur anak-anak remaja.
Menurutnya, anak-anak yang berjaga sepanjang waktu malam tanpa melakukan kerja-kerja faedah lebih mudah terjebak dengan perkara-perkara memudaratkan.
“Ini sangat penting kerana ketika ibu bapa tidur, anak-anak ini akan keluar bebas bersama-sama rakan. Ini trend anak-anak sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.