Home Nasional Ibu bapa dakwa diperdaya pemilik taska buat untung lebih

Ibu bapa dakwa diperdaya pemilik taska buat untung lebih

Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras, Datin Heng Sinn Yee (duduk empat kanan) diiringi Ketua Pemuda MCA Bahagian Cheras, Foo Chee Gang (duduk tiga kanan) bersama pengadu yang mendakwa mereka dikenakan yuran taska yang tidak sepatutnya dikenakan di Taman Segar Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Beberapa ibu bapa mendakwa mereka diperdaya oleh pemilik taska dengan dipaksa membayar yuran yang tidak sepatutnya, malah pemilik taska juga memberi alasan tidak munasabah bagi memastikan mereka tetap membayarnya.

Beberapa ibu bapa hari ini mengadakan sidang media bersama MCA Bahagian Cheras bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemilik taska tersebut.

“Penjaga (ibu bapa) ini pada awalnya diminta membayar deposit untuk taska bagi sesi bermula Januari 2018 tapi sebaliknya mereka diberitahu semua sesi taska adalah bermula pada Disember 2017 dan diwajibkan untuk bayar bagi sesi bulan tersebut.

“Mereka terpaksa bayar untuk bulan Disember kerana pemilik taska beritahu jika tidak bayar, anak mereka tidak boleh masuk ke taska tersebut pada Januari nanti,” kata Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras, Datin Heng Sinn Yee dalam satu sidang media hari ini bersama ibubapa yang sudah membuat pembayaran kepada taska tersebut.

Yong Chy Geen

Yong Chy Geen, 36, ialah antara 12 ibu bapa yang mendakwa diperdaya oleh pemilik taska tersebut dan membuat bayaran pada bulan Disember walaupun tidak menghantar anaknya semasa bulan tersebut.

“Saya rasa tertipu dengan tindakan pemilik taska, saya sudah bayar untuk bulan Disember tapi sebenarnya tidak perlu pun buat bayaran. Walaupun sudah dapat refund (dipulangkan semula) untuk yuran bulan Disember, tapi saya rasa masih ditipu,” katanya semasa sidang media.

Bagaimanapun, wakil Pemuda MCA Bahagian Cheras, Teoh Chee Hooi mendedahkan tidak semua ibu bapa mendapat semula wang mereka dan mempersoalkan layanan tidak adil yang diterima dalam kalangan mereka.

“Sepatutnya kalau nak refund (pemulangan wang), mereka perlu refund kepada penjaga yang lain juga… tapi kenapa ada double standard,” ujarnya.

Satu laporan polis juga sudah dibuat terhadap pusat Taska Children World kerana memperdaya ibu bapa yang membayar yuran yang tidak sepatutnya mereka bayar.

Selain itu, laporan juga dibuat kepada tribunal pengguna bagi menyiasat taska tersebut kerana memperdaya ibu bapa untuk mendapatkan keuntungan berlebihan sehingga menindas orang ramai. – MalaysiaGazette