BEIJING – China yang membangunkan pesawat amfibia terbesar dunia, AG600, melakukan penerbangan sulung dari lapangan terbang yang terletak di pantai Laut China Selatan hari ini, langkah terbaharu program modenisasi ketenteraannya.
China yang meningkatkan penyelidikan terhadap peralatan ketenteraan canggih mengguna pakai pendekatan yang tegas terhadap pertikaian di Laut China Selatan telah mencetuskan kebimbangan di Asia Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).
Rangkaian televisyen milik kerajaan menunjukkan rakaman AG600 berepas dari Lapangan Terbang Zhuhai di wilayah selatan Guangdong yang terletak di pantai Laut China Selatan.
Agensi berita Xinhua berkata, pesawat tersebut merupakan ‘pelindung kerohanian laut, pulau dan beting’.
Sebelum ini pesawat tersebut dijadualkan melakukan penerbangan pada awal tahun ini, namun adalah tidak jelas mengapa ia dilewatkan selepas ujian di darat dilakukan pada April lalu.
Aviation Industry Corp of China (AVIC) milik kerajaan telah menghabiskan masa selama hampir lapan tahun untuk membangunkan pesawat yang bersaiz hampir sama dengan pesawat Boeing, B737 dan ia direka untuk melakukan misi menyelamat selain memadamkan kebakaran hutan.
Bagaimanapun media milik kerajaan juga menyatakan potensi penggunaannya di Laut China Selatan yang mana negara itu, Vietnam, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Brunei membuat tuntutan bertindih.
Pada awal bulan ini, Ketua Pereka AG600, Huang Lingcai dipetik China Daily berlkata, pesawat itu mampu melakukan penerbangan pergi-balik tanpa perlu mengisi minyak dari Hainan (pulau paling selatan milik China) ke Beting James yang dituntut China, namun kedudukannya lebih dekat dengan sarawak.
Pesawat yang kuasanya dijana oleh empat kipas itu boleh membawa 50 penumpang semasa misi mencari dan menyelamat dan ia boleh menyeduk 12 tan metrik air dalam tempoh 20 saat untuk misi memadam kebakaran, menurut media milik kerajaan.
Setakat ini pesawat tersebut telah menerima 17 tempahan daripada jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat China. Ia mampu terbang sehingga 4,500 kilometer dan berkeupayaan menampung berat berlepas sebanyak 53.5 tan.
Pesawat itu boleh digunakan di lapangan terbang konvensional selain boleh berlepas dan mendarat di permukaan air. – Reuters