GUATEMALA CITY – Presiden Guatemala, Jimmy Morales memberi arahan untuk memindahkan kedutaan negara Amerika Tengah di Israel ke Baitulmaqdis.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas kerajaannya menyokong Amerika Syarikat berhubung status bandar yang menjadi pertikaian antara Palestin dan Israel.
Dalam kenyataan ringkas melalui akaun Facebooknya, Morales berkata, beliau memutuskan untuk memindahkan kedutaan itu dari Tel Aviv selepas bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada hari Ahad.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada bulan ini mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel hingga menerima bantahan sekutu-kutunya.
Status Baitulmaqdis adalah salah satu halangan yang paling sukar untuk menjalin kesepakatan damai antara Israel dan Palestin, yang menginginkan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu negara mereka.
Bagaimanapun, sebanyak 128 buah negara menentang pengiktirafan Trump di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis lalu.
Guatemala dan jirannya, Honduras adalah dua yang bergabung dengan Amerika Syarikat dan Israel untuk mengundi terhadap resolusi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Amerika Syarikat adalah sumber bantuan penting untuk Guatemala dan Honduras dan Trump mengancam untuk memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang menentang cadangannya di PBB. – MalaysiaGazette