SHAH ALAM – Seorang lelaki yang mengaku kononnya dia seorang pegawai polis dan memiliki sepucuk pistol tiruan serta 50 butir peluru ‘blank’, ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Seksyen 13 di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, tangkapan ke atas suspek berumur 37 tahun itu turut menemukan 58 kad nama berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat kad nama berlogo Polis Antarabangsa (Interpol) tertulis nama lelaki berkenaan.
“Semasa serbuan pada jam 4 pagi di rumah sewanya itu, suspek mengaku kononnya dia adalah Inspektor Polis Interpol.
“Pemeriksaan menemui satu sarung pistol, sepasang gari jenama ‘Smith and Wesson’ tiruan serta beberapa aksesori pakaian seragam berlogo PDRM.
“Siasatan awal mendapati suspek membeli pistol tiruan tertera jenis Walther P99 berkenaan menerusi laman sesawang ‘ebay’ pada harga RM3,000 kira-kira sebulan lepas, namun kami sedang mengenal pasti dari mana dia dapat pistol itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis syabu dan dia tidak mengaku pernah melakukan sebarang jenayah menggunakan pistol tiruan tersebut.
“Suspek menyatakan dia hanya menyimpan senjata itu sebagai hobi dan koleksi persendirian namun pemeriksaan mendapati tiada sebarang koleksi senjata lain ditemui,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata polis turut menyiasat keterlibatan suspek dalam sebarang jenayah.
Katanya, tangkapan ke atas suspek dibuat bagi mengelakkan penyalahgunaan barangan yang dimilikinya itu mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis.
“Suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama