KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepecs) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya campur tangan menyelesaikan isu tunggakan perumahan kuarters kerajaan yang dialami 500 kakitangan awam.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya mahu kerajaan membatalkan tuntutan penalti dan notis pengosongan kuarters yang dikenakan ke atas lebih 500 penjawat awam dan pesara di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, pembalatan itu perlu dilaksanakan kerajaan seboleh-bolehnya menjelang 1 Januari 2018 membela nasib mereka yang terlibat.
Menurut beliau, Cuepecs akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk merujuk perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa untuk langkah penyelesaian segera.
“Penalti yang dikenakan Badan Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan ekoran arahan pemindahan tempat kerja penjawat awam dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan sebaliknya selain pesaraan kakitangan tersebut.
“Kami difahamkan angkanya mencecah ratusan orang melibatkan penalti maksimum RM140,000 seorang, namun kita hanya ada maklumat terhad daripada sekitar lebih 50 orang sahaja dan maklumat selebihnya tidak sampai pada kami.
“Cuepecs terkilan dengan berita sedih yang diterima penghuni kuartes, memandangkan mereka lama berkhidmat dan sebahagiannya sudah bersara dan ada yang bakal bersara.
“Sangat mengejut apabila notis dikeluarkan oleh BPH menuntut penalti tinggi daripada penjawat awam yang diarah bertukar dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan sebaliknya walaupun kedududkan kuarters masih dalam radius 25 kilometer seolah bukan kakitangan awam,” katanya dalam sidang media selepas bertemu 150 pengadu hari ini.
Tambah beliau, dalam mesyuarat yang diadakan hari ini, pihaknya telah membuat keputusan untuk mendesak Perdana Menteri meminta arahan BPH dibatalkan serta merta.
Ujarnya, Cuepecs mahu memastikan kerajaan berkebajikan BN melepaskan kelompok penjawat awam yang terjejas itu.
“Saya tak faham kenapa pertukaran tempat kerja dalam radius 25 kilometer tetapi dikenakan caj apabila menduduki kuarters kerajaan yang boleh dianggap tidak masuk akal.
“Kenapa perlu dianggap Putrajaya dan KL terpisah sedangkan ia dibawah satu wilayah, satu bumbung sama dan semuanya penyokong tegar kerajaan, takkanlah inipun tidak boleh bantu,” ujarnya.
Justeru katanya, notis tuntutan penalti yang dikenakan sejak 2012 lagi itu mengakibatkan kebanyakan penjawat awam dan ahli keluarga mereka tertekan dengan kekangan kewangan.
Malah katanya, BPH melakukannya tanpa mengeluarkan notis pemberitahuan awal apabila pertukaran atau penempatan semula berlaku sehingga mereka terpaksa menanggung liabiliti.
“Selain dibatalkan terus, kami nak mereka yang besara tapi menunggu rumah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk tempoh setahun.
“Ini bukan susah sangat, sepatutnya kena ada toleransi antara majikan, pekerja dan kerajaan dan saya berharap kerajaan yang bertanggungjawab menjaga soal kebajikan dengan bertindak segera,” katanya. – MalaysiaGazette